Monday 14 September 2015

KEPENTINGAN MEMPELAJARI BAHASA ARAB DAN KEUNIKANNYA


Reaksi Terhadap Belajar Bahasa Arab!
[Senario di kampus]
Apakah tujuan belajar bahasa Arab? Saya seringkali bertanyakan soalan ini setiap kali menerima pelajar baru. Oleh kerana golongan pelajar saya adalah daripada pelbagai latar belakang dan umur, maka jawapan yang diterima juga adalah pelbagai.
Kebiasaannya pelajar yang belajar di peringkat sarjana muda akan menyatakan:
Kami tahu tulisan Jawi, tulisan Arab kan macam tulisan Jawi, mudahlah nak score”, jawab pelajar jurusan ekonomi. ”Saya sudah ada asas bahasa Arab”, sambung pelajar jurusan Sains Maklumat. ”Bahasa Arab kan bahasa al-Qur’an, bahasa syurga...sekurang-kurangnya ada manfaat jangka panjang”, ujar pelajar jurusan kejuruteraan.
Pelajar peringkat dewasa peringkat sarjana muda yang bekerjaya pula memberikan komentar: ”Bahasa Arab bahasa orang Islam”, jawab seorang pelajar jurusan undang-undang.”Saya ingat Bahasa Arab itu mudah untuk saya lulus...walaupun saya tiada basic”, seorang pelajar perempuan jurusan perakaunan menjawab ikhlas.
Manakala reaksi warga emas tidak kurang menariknya:”Saya hendak memahami al-Qur’an”, ujar pelajar yang pernah menjadi penulis sambilan Reader Digest. ”Saya hendak berkomunikasi bahasa tersebut”, jawab pelajar yang masih aktif dengan perniagaan.
  
Bahasa Arab begitu dekat di hati umat Melayu dan hampir 1,700 patah perkataan Arab telah diterimapakai di dalam bahasa Melayu sejak awal kedatangan Islam di dunia nusantara. Bahasa Arab sudah sebati dan menjadi darah daging umat Islam dulu, kini dan selamanya di mana hampir setiap hari mereka akan mendengar dan bertutur di dalam bahasa Arab tanpa disedari. Buktinya ialah setiap hari kita diwajibkan bersembahyang yang mana bacaan dan doa di dalamnya adalah di dalam bahasa Arab manakala kita juga akan mendengar laungan azan dan iqamat setiap kali tibanya waktu sembahyang yang juga di dalam bahasa Arab.

Lebih unik lagi bagi umat Islam, perkataan pertama yang didengar sejurus selepas dilahirkan ke dunia ialah azan dan iqamat yang menandakan kecintaan kita terhadap bahasa Arab telah diterap sejak masih bayi lagi. Kajian Syed Muhammad Naquib Al-Attas pada tahun 1984 mendapati bahawa selain perkataan Arab yang diserap ke dalam bahasa Melayu, tulisan Arab juga diambil secara keseluruhan dan dijadikan tulisan bahasa Melayu. Ketinggian dan keistimewaan bahasa ini telah diakui dan dibuktikan oleh pakar-pakar ilmu bahasa (linguisticans), pengkaji bahasa (philogist) dan perkamusan (lexicographer) Barat. Bahasa Arab dianggap sebagai bahasa yang telah lama mempengaruhi iklim bahasa dunia dan membantu kepada perkembangan tamadun manusia serta menjadi dinamo yang telah berjaya merubah dan membentuk keperibadian struktur sesebuah negara bangsa.

Kitab al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w untuk disampaikan kepada seluruh umat manusia juga adalah di dalam bahasa Arab dan seluruh umat Islam digalakkan membaca, memahami, menghafal, mengikuti segala ajaran dan melaksana serta menterjemahkan segala panduan di dalam kehidupan seharian. Membaca al-Quran seolah-olah kita sedang berdailog dan berkomunikasi dengan Allah s.w.t secara live, satu pengalaman yang amat unik dan perlu dijadikan amalan harian umat Islam. Realiti ini menjadikan bahasa Arab mampu melonjak corak dan tahap pemikiran manusia yang lebih holistik, komprehensif dan membentuk satu anjakan paradigma ke arah menjadi individu yang versatil dalam menangani survival semasa umat Islam.

Dengan menguasai bahasa Arab juga akan memudahkan kita mendalami intipati dan pengertian al-Quran, hadis Rasulullah dan kitab-kitab muktabar para ulama silam yang kebanyakannya ditulis di dalam bahasa Arab. Kemahiran bahasa Arab juga membolehkan kita memahami maksud setiap bacaan di dalam sembahyang, doa-doa, wirid, zikir dan sebagainya di mana sebahagian besar umat Islam tidak tahu pengertiannya walaupun sudah berpuluh tahun mengamalnya hatta ada yang tidak tahu pengertian doa iftitah dan qunud yang dibaca setiap hari dalam sembahyang. Kejahilan dan kelemahan umat Islam mendalami bahasa Arab akan hanya mewujudkan sebuah masyarakat tidak kreatif, kurang dinamik dan pak turut yang hanya menuturkan sesuatu yang tidak difahami seumpama burung kakak tua yang bijak berbicara. Oleh yang demikian, umat Islam perlu mencari jalan memahami dan mendalami bahasa al-Quran ini sebaik mungkin.

Bahasa Arab adalah bahasa umat Islam. Dengan jumlah umat Islam yang kini mencecah 1.6 bilion orang di seluruh dunia, membuktikan bahasa ini diucapkan setiap hari di dalam amalan ritual dan muamalah umat Islam secara global. Kebolehan berbahasa Arab membolehkan kita berkomunikasi dengan saudara seislam di seluruh dunia terutamanya di negara-negara Arab dan dapat mengenali mereka secara lebih dekat serta mengikat silatulrahim sesama umat Islam. Dalam konteks dunia Melayu pula, bahasa Arab digunakan secara meluas sejak awal kedatangan Islam dan kemuncaknya ialah pada era kegemilangan Kerajaan Melaka sehinggalah ke hari ini di mana bahasa ini digunakan di dalam pelbagai aspek dari sudut ekonomi, sosial, politik, diplomatik hatta di dalam amalan mistik dan jampi serapah pun bahasa Arab banyak digunakan terutamanya di dalam perubatan tradisional dan alternative.
Bahasa Arab juga adalah bahasa setiap makhluk yang dalam perjalanan dari alam barzakh padang mahsyar, timbanagan, titian Siratalmustaqim sehingga ke dalam syurga. 
Bahasa Arab juga mempunyai nilai komersial yang tinggi dan berdaya saing serta mampu menandingi bahasa dunia lain seperti bahasa Inggeris, Perancis, Rusia dan sebagainya. Nilai ekonomi yang terdapat pada bahasa Arab membolehkannya diiktiraf sebagai salah satu bahasa utama dan terpenting di dunia serta telah menarik ramai orang mempelajarinya. Bagi umat Islam, bahasa Arab adalah bahasa perpaduan dan penyatuan. Walaupun tidak semua negara Islam menjadikan bahasa Arab sebagai bahasa rasmi, namun begitu bahasa Arab tetap memainkan peranan penting di dalam sistem pemerintahan negara dan struktur masyarakat terutamanya di kalangan negara anggota OIC. Melalui medium Bahasa Arab juga negara Islam di seluruh dunia dapat mewujudkan kerjasama dan perkongsian ekonomi, teknologi, ketenteraan, pendidikan dan sebagainya secara yang lebih akomodatif dan progresif bagi mendepani segala anasir-anasir negatif yang boleh mengganggu-gugat kestabilan Islam.

Inisiatif kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pelajaran memperkenalkan program J-QAF iaitu sistem pendidikan jawi, al-Quran, bahasa Arab dan tulisan Jawi secara yang lebih efektif di sekolah-sekolah rendah mampu memperkasakan penguasaan dan kemahiran bahasa Arab di kalangan rakyat Malaysia, di samping program bahasa Arab yang turut disediakan di peringkat sekolah menengah dan yang lebih tinggi hampir semua institusi pengajian tinggi di seluruh negara adalah momentum positif kepada bahasa syurga ini. Pemikir Islam terkenal, Hassan al-Banna pernah berpesan di dalam wasiat sepuluhnya yang berbunyi " Berusahalah sedaya upaya untuk bertutur dalam bahasa Arab yang betul kerana bahasa Arab yang betul itu adalah satu-satunya syiar Islam".


Kewajipan Bahasa Arab
Firman Allah SWT, “Sesungguhnya KAMI turunkan ia (al-Quran) sebagai bacaan berbahasa arab agar kamu semua berfikir.” (Surah Yusuf: ayat 2).
Ahl Sunnah menganggap bahasa Arab adalah sebaik-baik bahasa di dunia. Terdapat hadith berbunyi, “Mencintai arab adalah iman, membenci arab adalah nifaq.” (Dalam Sahih Muslim dengan lafaz Hubb al-Ansar min al-iman, Kitab al-Iman, hadith 74). Orang yang tidak mencintai arab, tidak mengiktiraf kelebihan arab adalah ahli bid`ah.
Dari Ibn ‘Umar ra, RAsulullah saw bersabda, “Sesiapa yang mencintai bangsa arab , maka dengan sebab mencintai akulah ia mencintai mereka. Sesiapa membenci arab maka disebabkan ia membenciku.” (Iqtida’ al-Sirat al-Mustaqim Fi Mukhalafah Ashab al-Jahim, al-Harrani, 1999, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, ms 150.
Al-Hafiz Abu ‘Isa al-Tirmidhi mengisnadkan dari Salman al-Farisi, Rasulullah saw bersabda, “Wahai Salman, janganlah kamu membenciku nanti kamu meninggalkan agamamu.” Salman bertanya, “Bagaimana saya membencimu wahai Rasulullah, sedangkan dengan sebab tuanlah saya diberi hidayah oleh Allah? Rasul berkata, “Sekiranya engkau membenci arab nescaya engkau membenciku.” Al-Tirmidhi, al-Manaqib, hadith 3927.; Al-Imam Ahmad, al-Musnad, hadith 23219.
Berkata para ulama’ huffaz hadith, membenci bangsa arab dan memusuhi mereka adalah kufur atau membawa kepada kufur. Jelas bahawa mereka (arab) lebih utama dari selain mereka dan mencintai mereka sebab kekuatan iman.
Al-Hafiz Abu Tahir al-Silafi dalam Fadl al-‘Arab dari Jabir ibn ‘Abdillah, Rasulullah saw bersabda, “Mencintai Abu Bakr dan ‘Umar termasuk iman, membenciku keduanya adalah kufr. Mencintai arab adalah iman, membenci arab adalah nifaq.”
Al-Hafiz al-Silafi dengan sanadnya mengisnadkan dari Abu Hurairah, RAsulullah saw bersabda, “Sesiapa bercakap dalam bahasa Arab, maka dia adalah Arab.”
Al-Silafi dengan sanadnya, mentakhrij, bahawa Suhayb al-Rumi, Bilal al-Habashi dan Salman al-Farisi dikutuk oleh seorang lelaki kerana membantu perjuangan Nabi saw sedangkan mereka bukan bangsa Arab. Lalu berkhutbah baginda saw dengan bersabda, “Sesungguhnya arab itu bukan dari ibu dan bapa arab, tetapi ia adalah bahasa. Sesiapa bercakap dalam bahasa Arab maka dia adalah Arab!.”
Dari ‘Ali, Rasulullah saw bersabda, “Cintailah bahasa Arab kerana 3 perkara, kerana saya adalah arab, bahasa al-Quran adalah arab dan bahasa ahli syurga adalah arab.” Berkata al-Hafiz al-Silafi, isnad hadith ini hasan.
Al-Silafi mengisnadkan dari al-Imam al-Shafi`ei bahawa beliau berkata menjadi wajib mempelajari bahasa arab bagi yang mampu. Ia lebih patut dicintai dari selainnya. Menjadi kewajipan bertutur dalam bahasa Arab walaupun tidak haram berturut dalam bahasa ‘ajam.
(Shaykh Muhammad Rashid Ridha, al-Wahyu al-Muhamadi)


Pengaruh Bahasa.
Bahasa adalah syiar agama. Makruh membiasakan bertutur dengan selain bahasa arab. Bahasa arab adalah syiar islam dan umat islam. Bahasa adalah termasuk sebesar-besar syiar umat yang membezakannya dengan umat lain. Kerana itulah, ramai ulama’ mujtahid menganggap makruh berdoa doa dan zikir dengan bahasa selain arab.
Bahasa mempengaruhi agama, pemikiran, akhlak, sifat perangai dan adab. Ia mempengaruhi cara berfikir. Membiasakan bahasa arab adalah tashabbuh dengan salaf. Tasahhbuh dengan mereka menambah akal, agama dan akhlak.
Hukum Mempelajari Bahasa Arab.
Memahami al-Quran dan al-Sunnah adalah wajib. Bahasa arab itu sendiri adalah agama. Oleh itu, wajib mempelajari bahasa Arab kerana bahasa al-Quran dan Hadith adalah Bahasa Arab. Tidak sempurna yang wajib melainkan dengan sesuatu maka sesuatu itu adalah wajib. Bertutur dalam bahasa arab adalah tashabbuh (menyamai) akhlak Nabi saw, golongan sahabat sabiqun awwalun dan tabi`in. Tashabbuh dengan ‘ajam kuffar adalah makruh.
Berkata ‘Umar ibn al-Khattab, “Tidak belajar bahasa ajam melainkan kurang maruahnya. Pelajarilah Bahasa Arab kerana ia termasuk agama, pelajari syariat faraid kerana ia termasuk agama.”
Dengan itu difahami bahawa mempelajari arab dan bertutur arab adalah ibadah dan sunnah.
Bertutur dengan selain bahasa arab adalah nifaq.


Al-Hafiz Al-Silafi dari Ibn ‘Umar, Rasulullah saw bersabda, “Sesiapa yang pandai bercakap bahasa Arab, maka janganlah ia bercakap dengan bahasa ajam. Sesungguhnya ia mewariskan nifaq.”
Umar r.a. mengutuskan arahan kepada Abu Musa al-Ash`ari, “Amma ba`d, dalamilah (pelajarilah) sunnah dan dalamilah bahasa arab dan i`rab lah al-Quran. Sesungguhnya ia adalah bahasa Arab.”

Negara Syam, Mesir, Iraq , Maghribi, dan Khurasan asalnya bahasa ajam kemudian berjaya diarabkan.
Cara terbaik menghidupkan syiar bahasa arab ialah membiasakan anak-anak bertutur bahasa arab di rumah dan sekolah. Dengan itu mudah memahami al-Quran , hadith dan kalam salaf. Jika sebaliknya iaitu telah membiasakan bahasa ‘ajam maka ia adalah sukar.
Tanpa mengira apa status anda, anda sangat perlu belajar bahasa Arab. Ini berlandaskan kepada hadis Nabi yang bermaksud, “Belajarlah bahasa Arab dan ajarkanlah kepada sekelian manusia”. Ini bermakna, selagi anda berstatus manusia, anda perlu belajar bahasa Arab.

Hadis di atas cukup ringkas tetapi padat. Ia membawa pengertian yang cukup besar kepada kita khasnya umat Islam. Suruhan belajar bahasa Arab ini adalah dalam bentuk kata kerja arahan ataupun fi-il amar. Menurut kebanyakan ulama hadis ia membawa hukum wajib.

Dalam hadis ini terdapat dua arahan utama iaitu belajarlah dan ajarkanlah. Ini bererti, kita wajib belajar bahasa Arab. Jika kita sudah pandai bahasa Arab dan mampu menguasainya, kita diarahkan pula agar mengajarkannya kepada orang lain.

Sehubungan itu, terdapat dua golongan utama di sini iaitu sama ada sebagai pelajar atau guru. Anda pilih yang mana satu yang anda mahu. Jika berhadapan dengan orang yang mahir dalam bahasa Arab, maka jadilah seorang pelajar yang mahu menuntut ilmu.

Sebaliknya jika bersama dengan orang yang tidak tahu berbahasa Arab, maka ajarkanlah mereka bahasa Arab. Jika sama-sama tidak tahu ajaklah rakan-rakan anda untuk mencari tempat yang sesuai untuk belajar.

Selain itu, hadis ini juga sebenarnya adalah merupakan suatu motivasi yang amat bermakna kepada guru-guru Bahasa Arab. Sekiranya kita perhatikan ungkapan “ajarkanlah kepada sekelian manusia”. Kita dapati Nabi telah menyediakan suatu pasaran yang cukup luas.

Kita juga mungkin tertanya-tanya kenapa Nabi tidak menyebut “ajarkanlah kepada kaum Muslimin?” Sebaliknya dalam hadis ringkas ini, baginda menyebut “ajarkanlah kepada sekelian manusia”.

Jadi, pasaran pelanggan memang cukup luas. Bahasa Arab adalah untuk semua makhluk bergelar manusia. Selagi seseorang bergelar manusia, maka dia perlu belajar Bahasa Arab.
Ini bukan arahan sebarangan. Ini arahan Nabi kepada kita semua.

Wasiat Al-Banna Ke-3, Berusahalah Berbahasa Arab Dengan Fasih
Oleh:Fahri Abdullah al-Masri
Asy-Syahid Imam Hasan al-Banna dalam wasiatnya yang ketiga meminta kita dapat mempelajari dan berusaha keras memahami bahasa Arab. Kenapakah pentingnya umat Islam memahami bahasa Arab dengan fasih itu?

BAHASA ARAB DALAM AL-QURAN
Berikut, kami paparkan kepentingan Bahasa Arab sebagai yang disebutkan dalam al-Quran.

1] Surah Yusuf
[1] Alif, Laam, Raa’. Ini ialah ayat-ayat Kitab Al-Quran yang menyatakan kebenaran. [2] Sesungguhnya Kami menurunkan kitab itu sebagai Quran yang dibaca dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya.

2] Surah Ar-Ra’du
[37] Dan demikianlah Kami menurunkan Al-Quran sebagai hukum dalam bahasa Arab. Dan demi sesungguhnya, jika engkau (wahai Muhammad) menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya kepadamu wahyu pengetahuan (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau peroleh dari Allah sesuatupun yang dapat mengawal dan memberi perlindungan kepadamu (dari perkara-perkara yang tidak diingini).


3] Surah An-Nahl
[103] Dan demi sesungguhnya Kami mengetahui, bahawa mereka yang musyrik itu berkata: ” Sebenarnya dia diajar oleh seorang manusia”. (Padahal) bahasa orang yang mereka sandarkan tuduhan kepadanya itu ialah bahasa asing, sedang Al- Quran ini berbahasa Arab yang fasih nyata.

4] Surah Taha
[113] Dan demikianlah Kami telah menurunkan Al-Quran sebagai bacaan dalam bahasa Arab, dan kami telah terangkan di dalamnya berbagai-bagai amaran supaya mereka (umat manusia seluruhnya) bertaqwa, atau mereka mendapat daripadanya sesuatu peringatan dari faedah mereka.
5] Surah Asy-Syu’araa’
[195] (Ia diturunkan) dengan bahasa Arab yang fasih serta terang nyata.

6] Surah Az-Zumar
[27] Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengemukakan kepada umat manusia berbagai misal perbandingan dalam Al-Quran ini, supaya mereka mengambil peringatan dan pelajaran. [28] laitu Al-Quran yang berbahasa Arab, yang tidak mengandungi sebarang keterangan yang terpesong; supaya mereka bertaqwa.

7] Surah Fussilat

[1] Haa, Miim [2] Turunnya Kitab ini dari Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. [3] Sebuah Kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya satu persatu; iaitu Al-Quran yang diturunkan dalam bahasa Arab bagi faedah orang-orang yang mengambil tahu dan memahami kandungannya.

8] Surah Asy-Syuura
[7] Dan sebagaimana Kami tetapkan engkau hanya penyampai, Kami wahyukan kepadamu Al-Quran dalam bahasa Arab, supaya engkau memberi peringatan dan amaran kepada (penduduk) “Ummul-Qura” dan sekalian penduduk dunia di sekelilingnya, serta memberi peringatan dan amaran mengenai hari perhimpunan (hari kiamat) – yang tidak ada syak tentang masa datangnya; (pada hari itu) sepuak masuk Syurga dan sepuak lagi masuk neraka.

9] Surah Az-Zukhruf
[1] Haa, Miim. [2] Demi Kitab Al-Quran yang menyatakan kebenaran. [3] Sesungguhnya Kami jadikan Kitab itu sebagai Quran yang diturunkan dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal) memahaminya.

10] Surah Al-Ahqaaf
[12] (Bagaimana mereka tergamak mengatakan Al-Quran ini rekaan dusta yang telah lama?) Pada hal telah ada sebelumnya Kitab Nabi Musa yang menjadi ikutan dan rahmat (kepada umatnya); dan Al-Quran pula sebuah Kitab – yang mengesahkan kebenaran (kitab-kitab yang telah lalu), – diturunkan dalam bahasa Arab untuk memberi amaran kepada orang-orang yang zalim, dan berita gembira bagi orangorang yang berbuat kebaikan.
11] Surah An-Nisa’
[82] Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi Al-Quran? Kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya. An-Nisa’ 4:82
PERANAN BAHASA ARAB DALAM PENTAFSIRAN AL-QURAN
Memandangkan bahasa Arab dan al-Quran mempunyai kaitan yang sangat rapat antara satu sama lain, maka para ulama telah meletakkan syarat kepada ahli-ahli tafsir supaya mempunyai keupayaan yang mantap dalam bahasa Arab dan ilmu-ilmunya seperti nahu, saraf, semantik, retorik (balaghah) dan cabang-cabang ilmu bahasa Arab yang lain. Oleh kerana al-Quran diturunkan dalam bahasa tersebut, maka pemahaman ayat-ayat al-Quran bergantung kepada penghuraian setiap perkataan atau lafaz dan pengertiannya mengikut kesesuaian keadaan. Seorang ulama pernah menyatakan bahawa tidak harus bagi seseorang yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat berbicara tentang Kitab Allah sekiranya dia tidak arif dalam bahasa dan loghat Arab (al-Qattan, 1996: 341).
Al-Qurtubiyy dalam kitab tafsirnya “Al-Jami’ li Ahkam al-Quran” mengkhususkan satu bahagian (bab) yang membincangkan kaitan antara bahasa Arab dan al-Quran. Beliau juga menyebut peri pentingnya mempelajari I’rab (perubahan baris akhir perkataan mengikut keadaan) al-Quran. Hal ini bukan sahaja penting untuk bacaan yang sahih dan betul, tetapi juga untuk pemahaman yang tepat terhadap maksud dan hukum yang terkandung di dalam al-Quran (al-Qurtubiyy, 1995: 1: 24).
Selain daripada itu, Abdul Qadir Muhammad Saleh dalam bukunya bertajuk al-Tafsir wa al-Mufassirun fi al-Asr al-Hadith (2003: 90) menerangkan ciri-ciri yang diperlukan bagi pentafsiran al-Quran dalam kalangan para sahabat. Mereka berijtihad dalam mengeluarkan pendapat bagi memahami dan menafsir al-Quran. Antara garis panduan yang diperlukan dalam berijtihad ialah mereka perlulah terlebih dahulu mengetahui bahasa Arab dan mendalami selok belok bahasa itu sendiri seperti ilmu nahu, sarf, balaghah dan ilmu dilalah (semantik). Hal ini adalah kerana penguasaan dalam bahasa tersebut dapat membantu pemahaman ayat-ayat al-Quran. Tidak dapat dinafikan bahawa bahasa utama al-Quran adalah bahasa Arab dan tanpa penguasaan yang mantap terhadap bahasa ini akan mencacatkan proses ijtihad dan pentafsiran al-Quran dalam kalangan para sahabat dan pentafsir al-Quran sendiri.
Ibn Pashur turut menyentuh hubungan antara ilmu tafsir al-Quran dengan ilmu atau tatabahasa Arab. Tatabahasa bahasa Arab yang dimaksudkan meliputi ilmu sarf, nahu, ilmu ma’ani dan bayan (balaghah) (Abdul Qadir Muhammad Saleh, 2003: 112). Ternyata bahawa penguasaan bahasa Arab merupakan salah satu ciri utama dalam penafsiran al-Quran berdasarkan kepada kata-kata Ibn PPAshur dalam kitabnya “al-Tahrir wa al-Tanwir” yang bermaksud: “Sesungguhnya bahasa al-Quran itu adalah bahasa Arab dan tatabahasa Arab itu adalah cara bagi memahami makna yang terkandung di dalam al-Quran”. Manakala ilmu ma’ani dan ilmu bayan (balaghah) diperlukan dalam penafsiran al-Quran kerana ia merupakan asas bagi memahami ayat-ayat al-Quran yang mempunyai makna yang tersirat dan gaya bahasa yang begitu tinggi dan indah. Dapatlah difahami bahawa hanya orang-orang yang mahir dan pakar dalam bahasa Arab sahaja mampu mentafsir ayat-ayat al-Quran dengan tepat dan sahih serta mampu membuat penghuraiannya.Ibn PPAshur bukan sahaja seorang pakar tafsir al-Quran bahkan juga ahli bahasa Arab. Kitab tafsirnya “al-Tahrir wa al-Tanwir” turut dianggap sebagai sumber rujukan bahasa Arab kerana buku ini juga mencakupi aspek ilmu-ilmu bahasa Arab seperti nahu, sarf dan balaghah dalam pemahaman dan pentafsiran al-Quran.
Al-Shanqiti seorang pentafsir al-Quran turut mempelajari ilmu nahu, sarf dan balaghah di samping ilmu-ilmu utama lain yang berkaitan dengan pentafsiran al-Quran. Dalam buku tafsirnya yang masyhur “Adhwa’u al-Bayan”, beliau menyentuh salah satu aspek bahasa Arab iaitu yang berkaitan dengan “Ijmal” dan “Silah Mawsul” bagi penerangan dan penafsiran ayat 1 dan 3 dalam surah al-Maidah berkaitan isu makanan (Abd al-Qadir Muhammad Saleh, 2003: 257).
Contoh “Ijmal” atau umum yang disebabkan oleh kesamaran dalam memahami maksud “silah mawsul” seperti dalam Ayat 1 dari surah al-Maidah:  
Maksud ayat:
Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu.
Menurutnya lagi, contoh ayat yang memberi penjelasan terhadap kesamaran yang berlaku dalam ayat 1 ialah Ayat 3 dari surah al-Ma’idah:
Maksud ayat:
Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang ynag tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala.
Daripada penghuraian al-Shanqiti bagi ayat di atas, jelas membuktikan bahawa seorang pentafsir al-Quran perlu mempunyai pengetahuan ilmu bahasa Arab yang luas bagi proses memahami dan mentafsir al-Quran. Hal ini adalah kerana al-Quran adalah mukjizat Allah Taala yang mempunyai pelbagai keistimewaan dari sudut keindahan bahasa dan meliputi ilmu yang pelbagai sesuai untuk semua zaman dan keadaan.
Berdasarkan perkara-perkara yang dibincangkan di atas, terbukti bahawa bahasa Arab mempunyai peranan yang cukup besar dalam penghuraian pelbagai isu termasuk isu yang berkaitan dengan makanan. Ahli tafsir tidak dapat tidak mesti memiliki kepakaran berbahasa Arab dan mahir dalam selok belok bahasa ini memandangkan bahasa Arab berbeza dengan bahasa lain. Hal ini adalah kerana bahasa ini kompleks dan memerlukan pemahaman yang mendalam untuk menghuraikan sesuatu isu apatah lagi ayat-ayat suci al-Quran supaya ia tidak disalah tafsir.

BAGAIMANA MEMPELAJARI BAHASA ARAB

Ramai di kalangan kita pernah belajar Bahasa Arab sama ada secara rasmi ataupun tidak. Walau bagaimanapun kebanyakan daripada kita masih ada yang mengeluh mengatakan bahawa tidak dapat menguasai secara menyeluruh untuk berbahasa Arab.
Pelbagai persoalan yang wujud di minda antaranya:
- Apakah rahsia untuk mahir berkomunikasi dalam Bahasa Arab?
- Apakah tips yang mudah untuk menguasai Bahasa Arab?
- Adakah teknik mudah untuk mempelajari Bahasa Arab?
- Siapakah yang boleh membantu untuk mempelajari Bahasa Arab?
- Berapa lamakah pula masa yang diperlukan?
- Adakah Bahasa Arab ini mudah dipelajari?



Secara umumnya, jika kita tahu teknik dan kaedah yang betul serta sesuai untuk mempelajarinya tidak mustahil untuk kita mahir dalam Bahasa Arab. Bayangkan setiap hari kita membaca Al-Quran, tanpa kita sedari kita telah menyebut sehingga berpuluh-puluh sehingga ratusan perkataan dalam Bahasa Arab tanpa kita sedari kerana bahasa Al-Quran merupakan Bahasa Arab. Alangkah bagus dan indahnya sambil membaca Al-Quran sambil kita mengenal Bahasa Arab. Itu pada peringkat awal untuk kita mengenal Bahasa Arab, seharusnya kita perlu ada pendekatan, kaedah dan teknik yang sesuai untuk kita mempelajari Bahasa Arab secara mendalam dan mudah.

Bahasa Arab seperti juga bahasa-bahasa lain mempunyai empat proses pembelajaran kemahiran, iaitu pendengaran, pembacaan, penulisan dan pertuturan (komunikasi). Antara empat proses ini, pertuturan (komunikasi) adalah atu elemen terpenting untuk menguasai kemahiran berbahasa Arab. Ia adalah satu perantaraan yang paling berkesan bagi setiap individu untuk menyampaikan idea yang berbentuk lisan. Penguasaan seseorang terhadap Bahasa Arab bermakna kebolehan atau kewibawaannya untuk bertutur dan berkomunikasi dalam Bahasa Arab secara spontan. Tanpa keupayaan ini, maka proses komunikasi dan interaksi antara individu dan masyarakat tidak akan terlaksana dengan sempurna.
CADANGAN MEMPERTINGKATKAN PEMBELAJARAN BAHASA ARAB
Antara cadangan yang boleh diketengahkan untuk mempertingkatkan penguasaan pertuturan Bahasa Arab dalam kalangan pelajar ialah:
i. Pelajar perlu menanamkan minat yang mendalam untuk mempelajari Bahasa Arab seberapa daya yang boleh dengan tujuan untuk menggilap dirinya berupaya bertutur Bahasa Arab.
ii. Pelajar perlu menumpukan sepenuh perhatian kepada pengajaran guru dan memberikan komitmen yang tinggi terhadap pelajaran yang berkaitan dengan Bahasa Arab.
iii. Pelajar wajar mengambil inisiatif yang lebih aktif untuk memahami tatabahasa Arab dan memperbanyakkan perbendaharaan kata Arab melalui pelbagai media cetak seperti buku-buku cerita pendek, akhbar, majalah serta kamus Arab dan sebagainya.
iv. Pelajar perlu yakin pada diri sendiri untuk bertutur Bahasa Arab sesama kawan dan juga guru tanpa rasa malu dan takut.
v. Pelajar perlu menyertai apa-apa aktiviti yang berkaitan dengan Persatuan Bahasa Arab seperti pertandingan pidato, debat, kuiz, persembahan, dan sebagainya.
vi. Guru wajar menggunakan Bahasa Arab sepenuhnya ketika mengajar untuk membiasakan pelajar menjiwai dan memahami apa sahaja pengajaran yang disampaikan dalam Bahasa Arab dan tidak perlu diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu kecuali jika terdapat masalah yang sukar difahami.
vii. Guru hendaklah mewajibkan pelajar mempraktikan Bahasa Arab yang termampu oleh mereka dalam semua sesi persoalan dan perbincangan yang diadakan di dalam kelas.
viii. Guru perlu memberi motivasi dan menggalakkan pelajar berkomunikasi dengan Bahasa Arab dalam kehidupan mereka seharian antara sesama pelajar dan guru-guru sama ada di dalam kelas mahupun di luar kelas.

BIBLIOGRAFI:
P
PAbd al-Hamid al-Sayyid Tholab: 1991. Tahzib al-Nahwi. Cet 2. Kaherah: T.pt.
P
PAbd al-Wahhab P
PAbd al-Salam Tawilah. 2000. Athar al-Lughah fi Ikhtilaf al-Mujtahidin. Cet 2. Kaherah: Dar al-Salam.
Abdul Qadir Muhammad Saleh. 2003. al-Tafsir wa al-Mufassirun fi al-Asr al-Hadith, Lubnan: Dar al-Ma’firah. m/s 90
Al-Ghazaliyy. 2000. Halal dan Haram Dalam Islam. Cet 3. Kuala Lumpur: Jasmine Enterprise.
Ibn PPAqil, Biha’ al-Din Abdullah. 1998. Sarh Ibn P
PAqil ala Alfiyah Ibn Malik. Jil.2: 1998.
Ibn Manzur: 2003. Lisan al-Arab. Jil 1. Kaherah: Dar al-Hadith.
Lokman Abd Rahman. 2002. Produk Halal: Kepenggunaan, teknologi dan prosedur. Cet 2. Melaka: Majlis Agama Islam Melaka.
Al-Shanqiti, Muhammad al-Amin. 1996. Adwa’ al-Bayan Fi Idhah al-Al-Qur’an bi al-Qur’an. Cet 1. Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-Arabiyy. Al-Qardhawi, Yusof. 2004. Halal Dan Haram Dalam Islam. (Terj) Syed Ahmad Semait. Cet 4. Singapura: Pustaka Islamiyyah Pte Ltd.
Al-Qattan, MannaPP1996. Mabahith Fi Ulum al-Quran. Cet 2. Al-Riyadh: Maktabah al-MaPParif.
al-Qazwiniyy, al-Khatib. 1999. al-Idhah fi PPUlum al-Balaghah. Cet 1. Kaherah: Mu’assasah al-Mukhtar.
Al-Qurtubiyy. 1995. al-JamiPP li Ahkam al-Quran. Cet 1. Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-Arabiyy.
Wahbah al-Zuhayliyy: 1997. al-Tafsir al-Munir. Damsyik: Dar al-Fikr.
Zamakhsyariyy, R. Lubis. 1980. Tafsir ayat-ayat Ahkam. Cet 1. T.tp: t.pt. Zulkifli Mohamad al-Bakri. 2005. Hukum Makan Katak Dan Berubat Dengannya. Kajang: Dar al-Fuqaha’.


Sumber : http://lughatularabiahfiastin.blogspot.my/2011/12/kepentingan-mempelajari-bahasa-arab-dan.html

Sunday 13 September 2015




   
Carta Organisasi Panitia Bahasa Arab SMK Kundasang, Ranau, Sabah


Pengetua Cemerlang SMKKR
En Habdin Ariffin

Penolong Kanan I
Pn. Patricia Sinion

Ketua Bidang Agama
Ustzh. Hasini Marimin

Ketua Panitia Bahasa Arab
Us. Rohinin @ Abdul Malik Shapi

Setiausaha
Ustzh. Nurkamilah Ripin

Bendahari
Ustzh. Noryanti Kahar



Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...

SELAMAT DATANG KE BLOG PANITIA BAHASA ARAB SMK KUNDASANG, RANAU